November 29, 2007

Berterima Kasihlah...

Bukannya susah untuk mengucapkan terima kasih. Mengucapkan terima kasih kepada seseorang tidak merugikan apa-apa. Malah merupakan suatu penghargaan terhadap kebaikan yang telah dilakukan kepada kita.

Semua manusia suka usaha dan dirinya dihargai. Itu adalah hakikat.

Kita tidak berdiri berseorangan di dalam dunia ini. Hendak tidak hendak, hidup kita disokong oleh peranan manusia-manusia lain di sekeliling kita.

Sebagai contoh, nasi yang anda makan setiap hari, tengahhari dan malam. Adakah nasi tersebut siap tersedia bila-bila masa anda mahukan ? Tidak bukan ? Nasi yang anda makan berasal dari pohon-pohon padi yang disemai dan dikerjakan oleh pesawah-pesawah di kampung-kampung lalu menghasilkan butir-butir beras yang kemudian dibungkus dan dikilangkan baik-baik oleh pihak tertentu. Si pemborong dan peniaga dengan mengambil beberapa keuntungan menyediakan bekalan beras kepada penduduk-penduduk yang memerlukan beras. Si ayah pula mengeluarkan sejumlah wang hasil titik peluhnya untuk membeli seguni beras untuk dibawa pulang ke rumah. Si ibu pula membasuh beras yang dibeli tadi, memasak dan menghidangkannya sebagai nasi di hadapan anda. Berapa ramai pihak yang terlibat di dalam menyalurkan rezeki kepada anda ?

Ucapkanlah terima kasih terutama sekali setiap kali kita menerima sesuatu pemberian daripada seseorang, setelah seseorang melakukan sesuatu kerja untuk kita dan setelah kita berjual beli dengan seseorang,

Dengan membudayakan ucapan terima kasih, kita akan merapatkan hubungan silaturahim sesama manusia, mewujudkan kemesraan di antara si peniaga dan pelanggan, menyejuk dan menenangkan hati seseorang, meningkatkan rasa harga diri seseorang dan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah.

Sebenarnya, salah satu tanda kesyukuran kita kepada Allah di atas rezeki yang telah dikurniakanNya kepada kita adalah dengan cara berterima kasih dan menghargai usaha insan-insan yang telah menjadi perantara yang menyalur dan menyampaikan rezeki kepada kita. Cara Allah memberikan rezeki dan makanan kepada umat manusia tidak secara terus-menerus di hadapan mata mereka, tetapi melalui perhubungan peranan dan tanggungjawab sesama manusia itu sendiri.

Kadangkala, kita alpa dan tidak sedar bahawa kesenangan dan kebaikan yang kita rasai sekarang sedikit sebanyak disumbang, dibantu dan dijana oleh insan atau pihak yang kita tidak pernah fikir untuk hargai. Kita buat-buat tidak nampak akan jasa kebaikan mereka.

November 26, 2007

Kanser Darah

Kanser Darah (Leukemia)

Apakah itu Kanser Darah?

Di tengah struktur tulang manusia terdapat sejenis bahagian lembut yang digelar bone marrow di dalam Bahasa Inggeris di mana ia berfungsi menghasilkan sel-sel darah merah, platlet yang menyebabkan pembekuan darah dan juga sel-sel darah putih (leukocyte). Kanser darah berlaku apabila bahagian penting tersebut bertindak menghasilkan sel-sel darah putih yang abnormal (leukemia cells) yang lama-kelamaan akan mengatasi bilangan sel-sel darah yang sihat. Sel-sel kanser darah ini mampu merebak ke bahagian-bahagian lain badan seperti paru-paru dan hati. Kategori kanser darah bergantung kepada kepantasan ia merebak samaada chronic (perlahan-lahan) atau acute (pantas) dan jenis sel darah putih yang diserang biasanya samaada lymphoid dan myeloid.

Apakah yang merisikokan Kanser Darah?

Ada yang mengatakan risiko kanser darah dikaitkan dengan pendedahan terhadap radiasi tinggi bahan radiokatif, sesetengah bahan kimia industri seperti Formaldehyde dan Benzene dan penyakit-penyakit genetic seperti Down Syndrom. Walaubagaimanapun, punca penyebab yang sahih masih tidak dapat dipastikan lagi.

Apakah simptom-simptom Kanser Darah?

Di antara simptom-simptom kanser darah adalah:

  1. Demam
  2. Mudah terkena penyakit jangkitan.
  3. Mudah berasa penat.
  4. Pening kepala.
  5. Pembengkakan nodus limpha (eg: ketiak,leher)
  6. Pendarah yang mudah akibat kegagalan fungsi pembekuan darah (eg: gusi)
  7. Kehilangan berat bedan tanpa sebab.

Bagaimana Kanser Darah didiagnosis ?

Beberapa cara diagnosis adalah:

  1. Pemeriksaan fizikal bagi mengesan pembengkakan nodus limpha dan hati.
  2. Ujian saringan darah bagi mengesan ketidakseimbangan bilangan sel darah putih, platlet dan hemoglobin (pigmen merah) dan perebakan kanser samaada ke hati atau buah pinggang.
  3. Biopsi sampel sel tulang.

Apakah rawatan untuk Kanser Darah?

  1. Chemotherapy iaitu rawatan menggunakan ubat membunuh sel-sel kanser melalui cara yang pelbagai contohnya seperti oral (mulut), intravenous (salur darah), tiub catherer atau suntikan terus pada spina.
  2. Cara biologi dengan memberi peluang kepada sistem imun badan untuk melawan sel-sel kanser.
  3. Terapi radiasi untuk membunuh sel-sel kanser terutamanya kepada bahagian sel-sel kanser berkumpul.
  4. Transplant Pemindahan sel tulang (sum-sum)