November 29, 2007

Berterima Kasihlah...

Bukannya susah untuk mengucapkan terima kasih. Mengucapkan terima kasih kepada seseorang tidak merugikan apa-apa. Malah merupakan suatu penghargaan terhadap kebaikan yang telah dilakukan kepada kita.

Semua manusia suka usaha dan dirinya dihargai. Itu adalah hakikat.

Kita tidak berdiri berseorangan di dalam dunia ini. Hendak tidak hendak, hidup kita disokong oleh peranan manusia-manusia lain di sekeliling kita.

Sebagai contoh, nasi yang anda makan setiap hari, tengahhari dan malam. Adakah nasi tersebut siap tersedia bila-bila masa anda mahukan ? Tidak bukan ? Nasi yang anda makan berasal dari pohon-pohon padi yang disemai dan dikerjakan oleh pesawah-pesawah di kampung-kampung lalu menghasilkan butir-butir beras yang kemudian dibungkus dan dikilangkan baik-baik oleh pihak tertentu. Si pemborong dan peniaga dengan mengambil beberapa keuntungan menyediakan bekalan beras kepada penduduk-penduduk yang memerlukan beras. Si ayah pula mengeluarkan sejumlah wang hasil titik peluhnya untuk membeli seguni beras untuk dibawa pulang ke rumah. Si ibu pula membasuh beras yang dibeli tadi, memasak dan menghidangkannya sebagai nasi di hadapan anda. Berapa ramai pihak yang terlibat di dalam menyalurkan rezeki kepada anda ?

Ucapkanlah terima kasih terutama sekali setiap kali kita menerima sesuatu pemberian daripada seseorang, setelah seseorang melakukan sesuatu kerja untuk kita dan setelah kita berjual beli dengan seseorang,

Dengan membudayakan ucapan terima kasih, kita akan merapatkan hubungan silaturahim sesama manusia, mewujudkan kemesraan di antara si peniaga dan pelanggan, menyejuk dan menenangkan hati seseorang, meningkatkan rasa harga diri seseorang dan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah.

Sebenarnya, salah satu tanda kesyukuran kita kepada Allah di atas rezeki yang telah dikurniakanNya kepada kita adalah dengan cara berterima kasih dan menghargai usaha insan-insan yang telah menjadi perantara yang menyalur dan menyampaikan rezeki kepada kita. Cara Allah memberikan rezeki dan makanan kepada umat manusia tidak secara terus-menerus di hadapan mata mereka, tetapi melalui perhubungan peranan dan tanggungjawab sesama manusia itu sendiri.

Kadangkala, kita alpa dan tidak sedar bahawa kesenangan dan kebaikan yang kita rasai sekarang sedikit sebanyak disumbang, dibantu dan dijana oleh insan atau pihak yang kita tidak pernah fikir untuk hargai. Kita buat-buat tidak nampak akan jasa kebaikan mereka.

Tiada ulasan: